KIEV, 21 Jun- Ukraine pada Jumaat memaklumkan bahawa tenteranya telah melancarkan serangan dron ke atas beberapa kilang penapisan minyak dan pusat ketenteraan di selatan Rusia.
Serangan itu menurut Moscow, telah mengakibatkan satu nyawa terkorban.
Rusia bagaimanapun menegaskan bahawa mereka berjaya menembak jatuh 114 buah dron.
Kiev telah melakukan beberapa serangan ke atas loji penapisan minyak Rusia dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan alasan mereka bahawa ia adalah sasaran yang adil memandangkan ia adalah 'sumber tenaga' tentera Moscow.
Rusia juga telah melancarkan berpuluh-puluh serangan dahsyat ke atas loji janakuasa Ukraine.
Tentera Kiev berkata ia melancarkan dron terhadap kilang penapisan minyak di Afipskiy, Ilskiy, Krasnodar dan Astrakhan serta radio dan pusat perisikan di selatan Rusia.
Selain itu, serangan tersebut turut menyasarkan kawasan penyediaan dan penyimpanan dron di Krasnodar, mengakibatkan siri letupan dan kebakaran yang berikutnya.
"Sistem pertahanan anti-udara Rusia memintas dan memusnahkan 70 dron di Crimea dan Laut Hitam, 43 dron di wilayah Krasnodar dan satu dron di Volgograd," kata kementerian pertahanan Moscow.
"Di Krasnodar, seorang terbunuh dalam serangan dron berhampiran stesen kereta api Yuzhny."
"Beberapa bangunan pentadbiran di kilang penapisan minyak di daerah Severski turut rosak," kata gabenor tempatan, Venyamin Kondratyev di Telegram.
Konflik perang Ukraine-Rusia telah berlarutan lebih daripada dua tahun, dengan beberapa bulan kebelakangan ini Ukraine meningkatkan serangannya ke atas wilayah Rusia.
Serangan peluru berpandu dan dron Rusia ke atas infrastruktur tenaga Ukraine telah melumpuhkan kapasiti penjanaan kuasa negara itu dan telah memaksa Kiev untuk mengenakan pemadaman berterusan dan mengimport elektrik dari Kesatuan Eropah (EU).- AFP