fb fb fb fb fb

Jutaan rakyat Afghanistan dikhuatiri terjejas susulan dana bantuan semakin berkurang

Krisis kebuluran di Afghanistan semakin buruk susulan dana bantuan berkurangan.-Foto Reuters

KABUL,16 Disember - Buat pertama kalinya Program Makanan Dunia (WFP), Pertubuhan Bangsa Bersatu tidak dapat menyediakan bantuan penuh kepada jutaan rakyat Afghanistan yang terjejas pasca perang.

Ia susulan dana bantuan antarabangsa semakin berkurang dengan ketara apabila pasukan tentera Amerika Syarikat secara rasmi keluar sepenuhnya dari negara tersebut.

Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap jutaan warga negara tersebut yang mengalami kekurangan zat makanan dan peningkatan kematian, terutama kanak-kanak susulan musim sejuk yang tiba.

Menurut kenyataan WFP, krisis di Afghanistan diburukkan dengan pelbagai bencana yang melanda negara tersebut.

Ketika ini, WFP memerlukan dana sekitar $460 juta untuk memenuhi keperluan 6 juta penduduk yang terjejas.

Dianggarkan jumlah mereka yang memerlukan bantuan akan meningkat kepada 17 juta orang, susulan lebih ramai rakyat Afghanistan yang menjadi pelarian dihantar pulang dari negara-negara jiran seperti Pakistan dan Iran.

Agensi kemanusiaan memberi amaran, negara itu kekurangan infrastruktur asas untuk menyerap kemasukan jutaan pelarian yang kembali.-Reuters

ASHRIQ FAHMY AHMAD