fb fb fb fb fb

Juri mahkamah putuskan Musk tidak bertanggungjawab salah laku berkaitan tweet Tesla

(Elon Musk/REUTERS)

SAN FRANCISCO, 4 Februari- Mahkamah semalam memutuskan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc (TSLA.O) Elon Musk dan syarikatnya tidak bertanggungjawab mengelirukan pelabur apabila Musk melalui hantaran mesej di Twitter mengenai pembuat kereta elektrik itu pada 2018.

Plaintif telah menuntut ganti rugi berbilion dolar Amerika (AS$) dan keputusan itu juga penting bagi Musk sendiri, yang sering menggunakan Twitter untuk menyiarkan pandangannya.

Juri kembali dengan keputusan sebulat suara kira-kira dua jam selepas memulakan perbincangan.

Musk tidak hadir di mahkamah ketika keputusan dibacakan tetapi tidak lama kemudian menulis tweet bahawa dia "sangat menghargai" keputusan juri.

Nicholas Porritt, seorang peguam untuk pelabur, berkata dalam satu kenyataan, "Kami kecewa dengan keputusan itu dan sedang mempertimbangkan langkah seterusnya."

Saham Tesla meningkat 1.6% dalam dagangan selepas waktu kerja berikutan keputusan itu.

"Bab gelap kini ditutup untuk Musk dan Tesla," kata penganalisis Wedbush Dan Ives.

Ives menambah bahawa beberapa pelabur Tesla bimbang Musk mungkin perlu menjual lebih banyak saham Tesla jika dia kalah.

Ternyata proses perbicaraan itu memberi risiko terhadap integriti dan sebahagian daripada kekayaan Musk yang membeli Twitter pada Oktober tahun lalu itu.


(FOTO REUTERS)

Ini kerana, Musk mungkin dibebani dengan tuntutan berbilion dolar sebagai ganti rugi sekiranya juri mendapati beliau bertanggungjawab ke atas ciapannya yang dianggap palsu oleh hakim yang mempengerusikan perbicaraan berkenaan.

Musk sebelum ini, memberi keterangan dalam perbicaraan kes penipuan, di mana beliau didakwa menipu dalam ciapan Twitternya untuk mengambil alih syarikat itu sebagai syarikat swasta.

Beliau diseret ke mahkamah oleh pemegang saham Tesla yang menyatakan beliau memanipulasi harga saham syarikat itu hingga mengakibatkan kerugian bernilai jutaan dolar pada 2018.

Ciapan oleh Musk mengakibatkan harga saham Tesla menjadi tidak menentu dan bilionair itu disaman oleh pemegang saham yang mendakwa taikun berkenaan bertindak melulu dalam usaha untuk menyingkirkan pelabur yang tidak sehaluan dengan syarikat itu.

Minor Myers, yang mengajar undang-undang korporat di Universiti Connecticut dan yang sebelum ini menyebut kes pelabur itu kukuh, menggelar keputusan itu sebagai "mengejutkan. -AFP

Media Baharu