YANGON, 22 Februari- Junta Myanmar telah menggandakan serangan ke atas orang awam dan menunjukkan tanda-tanda semakin terdesak dengan mewajibkan kerahan tentera.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai hak asasi manusia di Myanmar, Thomas Andrews.
Beliau menerusi satu kenyataan berkata, sejak beberapa bulan lalu, belia diculik atau dipaksa menyertai perkhidmatan tentera.
Pada masa yang sama, junta turut meningkatkan serangan ke atas rakyat.
“Walaupun cedera dan semakin terdesak, junta tentera Myanmar kekal sangat berbahaya", kataya.
"Ketika junta memaksa lelaki dan wanita muda ke dalam barisan tentera, ia telah menggandakan serangannya terhadap orang awam menggunakan simpanan senjata yang ada."
"Golongan muda berasa takut dengan kemungkinan dipaksa untuk mengambil bahagian dalam pemerintahan keganasan junta. Jumlah individu yang melarikan diri merentasi sempadan juga akan meningkat", katanya.
Junta menghadapi tentangan meluas terhadap pemerintahannya tiga tahun selepas merampas kuasa daripada kerajaan awam yang dipilih dan pakatan kumpulan etnik minoriti melancarkan serangan terhadap junta.
Andrews kesal dengan tindakan Majlis Keselamatan PBB dan menggesa negara-negara untuk memperkukuh langkah-langkah untuk mengurangkan akses junta kepada wang dan senjata.
Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada negara yang dilanda konflik itu.
"Kini, lebih daripada sebelumnya, masyarakat antarabangsa mesti bertindak segera melindungi rakyat Myanmar", katanya.
Negara Asia Tenggara itu bergolak sejak pengambilalihan tentera pada Februari 2021, yang menamatkan percubaan 10 tahun dengan demokrasi dan mencetuskan protes besar-besaran serta tindakan keras terhadap perbezaan pendapat.-AFP