fb fb fb fb fb

16 orang maut dalam runtuhan lombong emas

Orang ramai di tebing Sungai Guacara, menunggu berita terkini tragedi di lombong emas haram di La Paragua, Bolivar, Venezuela/REUTERS

LA PARAGUA, 22 Februari- Sekurang-kurangnya 16 orang maut selepas lombong emas haram runtuh di hutan terpencil, selatan Venezuela.

Insiden berlaku di lombong "Bulla loca" di negeri Bolivar. Perjalanan ke lokasi itu mengambil masa tujuh jam dari bandar La Paragua dengan menggunakan bot.

Setiausaha Keselamatan Bolivar, Edgar Colina Reyes, berkata 16 orang maut.

Sementara itu, Presiden Nicolas Maduro memaklumkan 11 orang lagi cedera.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan orang-orang ini yang malangnya maut dalam kemalangan ini,” kata Maduro menerusi siaran televisyen.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Angostura, Yorgi Arciniega, memberitahu AFP bahawa kira-kira 23 mayat telah ditemukan, termasuk 15 yang telah tiba dengan bot di La Paragua dan kira-kira lapan lagi dalam perjalanan.

Beliau berkata empat orang cedera telah dibawa ke pusat perubatan untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Awam, Carlos Perez Ampueda, yang menyiarkan video kejadian itu di platform X, berkata kemalangan itu membabitkan jumlah mangsa yang ramai. Kira-kira 200 orang dipercayai bekerja di lombong itu.

Video itu menunjukkan berpuluh-puluh orang bekerja semasa insiden tersebut dan ada yang berjaya menyelamatkan diri.

Tentera, bomba dan organisasi lain bergerak ke kawasan itu melalui udara untuk menilai keadaan di lokasi kejadian.

Pasukan penyelamat turut diterbangkan dari Caracas untuk membantu pencarian.

Disember lalu, ekurang-kurangnya 12 orang terbunuh apabila sebuah lombong di kawasan masyarakat orang asli Ikabaru, di wilayah yang sama, runtuh.

Kawasan Bolivar terkenal dengan emas, berlian, besi, bauksit, kuarza dan coltan. Terdapat juga industri lombong haram yang berkembang pesat di negeri itu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN