GAZA, Rabu, 22 Februari- Sekurang-kurangnya 19 orang awam terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas kem pelarian Nuseirat dan kejiranan Zeitoun di Gaza.
Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, pesawat tentera Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan rumah keluarga Da’alis di barat kem Nuseirat dan mengakibatkan 17 orang awam terkorban dan berpuluh-puluh yang lain cedera.
Sumber kesihatan turut mengesahkan wartawan Ihab Nasrallah dan isterinya turut terkorban selepas menjadi sasaran pasukan pendudukan di Zeitoun, Gaza. Manakala, tiga anak pasangan terbabit cedera parah.
Selain itu, tentera Israel juga menyasarkan sekumpulan penduduk di kawasan kejiranan Brahma di selatan Rafah dan menyebabkan beberapa orang awam cedera.
Artileri Israel juga membedil salah satu menara di bandar Hamad yang dibiayai Qatar di sebelah barat Khan Yunis, di selatan.
Sehingga kini, lebih 29,000 orang penduduk Palestin terkorban sejak tercetusnya konflik Palestin-Israel pada Oktober tahun lalu.