RIO DE JANEIRO, 22 Februari- Brazil mengkritik dan menyifatkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) gagal menangani peperangan di Gaza dan Ukraine semasa pembukaan Mesyuarat G20 di negara itu.
Mesyuarat yang menghimpunkan pemimpin ekonomi pelbagai negara itu turut menyaksikan kehadiran Setiausaha Negara AS Antony Blinken dan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov.
Menteri Luar Brazil, Mauro Vieira berkata ledakan konflik global menunjukkan institusi antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) seperti tidak berfungsi.
"Institusi pelbagai hala tidak dilengkapi dengan baik untuk menangani cabaran semasa, seperti yang telah ditunjukkan oleh 'kelumpuhan' Majlis Keselamatan yang tidak boleh diterima mengenai konflik yang sedang berlaku di Gaza dan Ukraine", kata Vieira.
"Keadaan itu mengorbankan banyak nyawa yang tidak bersalah", katanya.
Sementara itu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, pula memberi amaran keadaan itu sebagai 'multilateralisme' dalam krisis.
UNSC gagal bertindak berhubung isu pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan konflik Israel-Palestin di Gaza yang menyaksikan Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya untuk menyekat gesaan gencatan senjata.
Brazil sebagai Presiden G20 sejak Disember lalu, menyuarakan harapan agar kumpulan itu boleh menjadi forum mengenai perkembangan dalam hal berkaitan.
Tindakan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, menyifatkan tindakan operasi ketenteraan oleh rejim zionis seperti Holocaust, pembunuhan besar-besaran penduduk Yahudi, turut mencetuskan ketegangan diplomatik.
Dakwaan itu menimbulkan kemarahan Israel sehingga rejim Zionis menggelarkan pemimpin tertinggi Brazil itu sebagai 'persona non grata' dan boleh membayangi sebarang usaha untuk meredakan konflik melalui G20.
Pegawai Kanan Jabatan Negara berkata kepada media, Blinken turut mengadakan pertemuan dengan Lula semalam di Brasila sebelum menghadiri Persidangan G20, apabila menyatakan pihaknya tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut.
Pertemuan tersebut berlangsung selama 90 minit di istana presiden.-AFP