NUSANTARA, 29 Julai - Presiden Indonesia, Joko Widodo menghabiskan malam pertamanya di istana berbentuk Garuda di ibu negara baharu yang dicadangkan negara itu, Nusantara, sebelum mengadakan mesyuarat rasmi pada Isnin.
Jokowi, telah berusaha untuk menyegerakan pembinaan ibu kota baharu itu sebelum beliau berundur pada Oktober, walaupun Nusantara berdepan beberapa kelewatan pembinaan, kekurangan pelaburan asing, dan isu pengurusan dan tanah.
"Ini adalah kerja besar. Ia boleh mengambil masa 10, 15, atau 20 tahun," kata Jokowi kepada pemberita di luar Istana Garuda yang baharu pada Isnin. "Ini bukan satu kerja yang mengambil masa satu atau dua tahun."
Istana yang berbentuk burung Garuda itu terdiri daripada 4,650 bilah yang membentuk sayap burung tersebut merupakan pusat kepada ibu kota baharu itu.
Jokowi mengakui dia tidak tidur nyenyak pada malam pertamanya nemun mengatakan bahawa air, elektrik, dan internet, yang telah menangguhkan langkah awalnya yang dirancang bulan ini, kini tersedia.
Beliau tidak menyatakan berapa lama dia bercadang untuk bekerja di situ.
Diukir dari hutan di pulau tropika Borneo, projek infrastruktur bernilai AS$32 bilion itu terletak kira-kira 1,200 km (750 batu) dari ibu negara semasa, Jakarta.
Bersedia untuk mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan di Nusantara pada 17 Ogos, Jokowi sejak beberapa minggu kebelakangan ini lebih pragmatik dalam ucapannya mengenai ibu negara baharu itu.
"Ramai orang menyangka kami tergesa-gesa...Tidak, kami tidak tergesa-gesa melakukan kerja. Ia mengikut prosedur," katanya.-REUTERS