fb fb fb fb fb

Warga India maut di Rusia, keluarga desak kerajaan bawa pulang mayat

Foto Reuters

NEW DELHI, 29 Julai- Saudara-mara kepada seorang lelaki India yang maut di Rusia menggesa kerajaan campur tangan dalam membawa pulang mayat ahli keluarganya itu ke kampung halamannya, di utara negeri Haryana.

Menurut saudaranya itu, Ravi Moun, 21 tahun telah terbunuh selepas dipaksa berperang dalam menentang tentera Ukraine.

"Moun mengembara ke Rusia pada Januari selepas dihubungi oleh ejen yang menjanjikannya pekerjaan dalam sektor pengangkutan," jelas saudara-maranya memberitahu Reuters.

Pegawai kementerian luar India mengesahkan bahawa pihaknya menerima panggilan daripada beberapa individu dan ahli keluarga, memaklumkan perkara berkenaan, beberapa bulan lepas.

Dalam panggilan itu, mereka menjelaskan bahawa mereka telah ditipu untuk melancong ke Rusia dengan janji pekerjaan atau pendidikan, namun diambil secara paksa ke dalam unit tentera.

Setibanya di sana, dia terpaksa turun berperang menentang tentera.

Sekurang-kurangnya empat lagi orang terbunuh dalam keganasan itu.

Keluarga Moun kali terakhir bercakap dengannya pada 12 Mac dan telah cuba menghubungi kerajaan untuk mendapatkan bantuan dalam menjejakinya sejak itu, kata mereka.

"Jika dia (Moun) tahu dia perlu bertarung, dia tidak akan pergi...kenapa dia pergi ke tempat kematian menanti?" kata Sonu Mator, sepupunya, sambil menambah bahawa keluarga itu memerlukan bantuan kerajaan untuk membawa pulang mayat itu.

"Kami tidak mempunyai wang untuk menguruskannya sendiri," kata Mator.

Sepucuk surat daripada Kedutaan India di Moscow minggu lalu memaklumkan saudara-mara Moun mengenai kematiannya tanpa menjelaskan keadaan di mana dia meninggal dunia, menurut akhbar The Indian Express.

“Pihak Rusia telah mengesahkan kematian itu,” tulis Gloria Dung Dung, setiausaha kedua di kedutaan itu, lapor akhbar itu.

Kematian Moun berlaku beberapa hari selepas Rusia berjanji kepada New Delhi bahawa orang India yang ditipu untuk menyertai tenteranya akan diberhentikan.

Kedutaan Rusia di India juga telah menyatakan bahawa Rusia komited untuk mencari "penyelesaian seawal mungkin".

Negara Asia Selatan itu enggan mengutuk perang Rusia dengan Ukraine dan sebaliknya meminta keamanan melalui dialog dan diplomasi.

Sri Lanka dan Nepal juga telah berkata bahawa beberapa rakyat mereka telah diambil secara haram. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM