fb fb fb fb fb

'Joe Ferrari' ditemukan mati dalam penjara

Thitisan menyerah diri pada tahun 2021, selepas rakaman video penyeksaan suspek tersebar luas di media sosial/Foto fail AFP

BANGKOK, 8 Mac - Bekas pegawai polis Thailand, Thitisan Utthanaphon ditemukan tidak bernyawa dalam sel penjaranya semalam selepas lebih tiga tahun menjalani hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh.

Thitisan Utthanaphon, yang digelar "Joe Ferrari" kerana koleksi kereta mewah dan gaya hidup mewahnya, disabitkan bersalah pada 2022 kerana menyeksa seorang suspek hingga mati semasa siasatan.

Jabatan Penjara Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Thitisan ditemui tidak sedarkan diri di penjara Bangkok pada malam Jumaat, dengan kesan lebam pada jari dan tiada nadi dikesan.

Rakaman CCTV menunjukkan tiada individu memasuki selnya, namun bedah siasat sedang dijalankan bagi menentukan punca kematian.

Thitisan sebelum ini didiagnosis mengalami gangguan kebimbangan dan pernah menerima rawatan psikiatri, dengan sesi seterusnya dijadualkan pada April ini.

Kesnya menarik perhatian umum pada 2021 selepas rakaman video bocor menunjukkan dia dan enam pegawai lain membalut kepala seorang suspek berusia 24 tahun dengan tujuh lapisan plastik untuk memeras ugut wang, sehingga menyebabkan kematian.

Setelah rakaman itu tersebar, Thitisan menyerah diri kepada polis, yang kemudian menemui garaj penuh dengan kereta mewah di rumahnya di Bangkok. – AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN