GUAYAQUIL, ECUADOR, 8 Mac – Lima banduan ditemui mati di penjara terbesar Ecuador sehari selepas pertempuran antara geng samseng di bandar pelabuhan Guayaquil pada Jumaat.
Mayat mereka ditemui semasa pemeriksaan keselamatan di Penjara Litoral yang terkenal dengan keganasan, menurut agensi penjara SNAI.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kematian, dan proses bedah siasat sedang dijalankan.
Penjara di Ecuador antara yang paling berbahaya di dunia, dengan banyak daripadanya dikuasai kumpulan kartel dadah.
Litoral pernah menjadi lokasi pembunuhan beramai-ramai terburuk di Ecuador pada 2021, yang mengorbankan 119 banduan.
Khamis lalu, 22 orang terbunuh dan enam lagi cedera dalam pertempuran antara kumpulan geng Los Tiguerones di Guayaquil.
Seorang pegawai polis memberitahu AFP bahawa kematian di Litoral mungkin berpunca daripada tindakan balas dendam.
Selepas insiden tembak-menembak di Guayaquil, Presiden Ecuador, Daniel Noboa, mengumumkan amnesti kepada pasukan keselamatan yang memerangi kartel dadah.
Beliau menggesa pasukan keselamatan untuk bertindak tegas tanpa takut kepada sebarang tindakan balas.
Noboa, yang berkuasa sejak 2023, bakal berdepan pusingan kedua pilihan raya presiden pada 13 April ini.
Kempen beliau tertumpu pada usaha membanteras kartel yang menjadikan Ecuador antara negara paling ganas di Amerika Latin.
Pesaingnya, Gonzalez, seorang peguam, mengkritik pelanggaran hak asasi manusia dalam perang terhadap kartel dan berjanji mengambil pendekatan lebih berhati-hati. - AFP