fb fb fb fb fb

Jet pejuang Filipina, 2 kru hilang semasa operasi taktikal

Jet pejuang FA-50/ Foto hiasan

MANILA, 4 Mac- Jet pejuang FA-50 Filipina dan dua kru hilang semasa operasi semalaman yang berlepas dari pangkalan berhampiran bandar Cebu, di tengah negara itu.

Tentera Udara Filipina (PAF) menerusi kenyataan berkata jet tersebut terputus hubungan dengan jet pejuang lain dalam penerbangan, beberapa minit sebelum mencapai kawasan sasaran.

Jurucakap Tentera Udara, Kolonel Consuelo Castillo memberitahu, insiden besar itu adalah kali pertama yang melibatkan skuadron FA-50S, yang sebelum ini digunakan dalam latihan di Laut China Selatan.

Filipina mempunyai berpuluh-puluh jet pejuang yang dibeli dari Korea Selatan dalam beberapa dekad lalu.

Castillo berkata pesawat tersebut sedang terbang dalam perjalanan ke kawasan sasaran semasa ia hilang dalam operasi taktikal bagi membantu pasukan pertahananan negara itu.

Beliau enggan memberi butiran tepat mengenai misi tersebut atau lokasi misi, yang melihat jet berkenaan terbang dari Pangkalan Udara Mactan-Benito Ebuen.

Pangkalan itu berkongsi landasan dengan lapangan terbang di Cebu, bandar kedua terbesar di Filipina.

"Kami berharap dapat menemui pesawat dan kru tersebut. Kami optimis bahawa mereka selamat", katanya.

Tentera Udara melaksanakan operasi mencari secara meluas dan menyeluruh menggunakan semua sumber yang ada, untuk mengesan pesawat pejuang yang hilang.

FA-50s terlibat dalam rondaan udara bersama sekutu perjanjian Amerika Syarikat di Laut China Selatan, dengan China dan Filipina terlibat dalam konflik yang semakin tegang mengenai terumbu karang dan perairan.

Beijing menuntut hampir keseluruhan laluan perairan penting yang melibatkan perdagangan bernilai trilion dolar setiap tahun, walaupun terdapat keputusan dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyatakan tuntutannya tidak mempunyai asas undang-undang.

Media tempatan, Inquirer, melaporkan pada Januari bahawa kerajaan Filipina sedang mempertimbangkan untuk membeli 12 buah lagi pesawat pejuang FA-50.-AFP

ROSLINA BINTI DIN