KIEV, 4 Mac- Serangan dron Rusia mencederakan empat orang dan merosakkan infrastruktur tenaga di pelabuhan Laut Hitam Ukraine, Odesa, menyebabkan gangguan bekalan elektrik di bandar tersebut dan menjejaskan sistem pemanasan, kata pihak berkuasa tempatan.
"Serangan ini telah merosakkan infrastruktur tenaga," kata Gabenor wilayah, Oleh Kiper, dalam satu hantaran di aplikasi Telegram.
"Sekarang terdapat gangguan bekalan elektrik di beberapa bahagian bandar", katanya.
Datuk Bandar Odesa, Hennadiy Trukhanov, berkata dua daripada orang yang cedera telah dimasukkan ke hospital. Serangan itu juga merosakkan beberapa rumah kediaman dan dua tadika swasta.
Trukhanov turut mengatakan bahawa sistem pemanasan ke rumah kediaman telah dipulihkan selepas gangguan sementara akibat serangan yang merosakkan infrastruktur tenaga.
Bagaimanapun, tiada komen segera dari Rusia mengenai serangan tersebut.
Kedua-dua pihak menafikan menyasarkan orang awam dalam peperangan yang dimulakan Rusia dengan pencerobohan besar-besaran tiga tahun lalu. Ribuan orang awam telah terkorban, kebanyakannya rakyat Ukraine.-REUTERS