fb fb fb fb fb

Jet pejuang Arab Saudi terhempas ketika latihan, dua kru maut

Pesawat F-15SA/AFP

RIYADH, 8 Disember- Sebuah jet pejuang milik tentera udara Arab Saudi terhempas ketika menjalankan latihan di timur negara itu dan membunuh dua kru, kata kementerian pertahanan.

Jurucakapnya, Brigedier Jeneral Turki al-Maliki berkata, pesawat itu adalah sebahagian daripada armada F-15SA buatan Amerika Syarikat (AS) yang terhempas semalam semasa menjalankan misi latihan rutin di Pangkalan Udara Raja Abdulaziz di Dhahran.

"Siasatan telah dilancarkan untuk menentukan punca kemalangan," lapor agensi berita Saudi Press Agency (SPA) memetik Maliki sebagai berkata.

Lima bulan lalu, pesawat jenis sama turut terhempas di kawasan latihan pangkalan udara dekat bandar Khamis Mushait dan mengorbankan dua kru.

Selama beberapa dekad, F-15 telah 'menjadi batu asas hubungan' antara tentera udara Arab Saudi dan AS.

"F-15SA akan membantu menghalang penceroboh, selain meningkatkan keupayaan Arab Saudi mempertahankan diri daripada ancaman serantau," menurut Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS dalam satu kenyataan yang disiarkan pada tahun 2010.

Kenyataan itu turut memberitahu Kongres AS mengenai rancangan untuk menjual 84 pesawat F-15 kepada Riyadh. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA