fb fb fb fb fb

Tiada sebarang perang diizinkan di Amerika Selatan- Presiden Brazil

Pemandangan di sungai Essequibo yang menjadi pertikaian Guyana dan Venezuela / FOTO AFP

RIO DE JANEIRO, 8 Disember -Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva meluahkan kebimbangan kemungkinan berlakunya perang di rantau Amerika Selatan susulan pertikaian Guyana dan Venezuela berhubung wilayah Essequibo.

"Apa yang kita tidak inginkan adalah perang di Amerika Selatan", kata pemimpin veteran berkenaan di Sidang Kemuncak Mercosur di sini ketika perbalahan berkaitan wilayah Essequibo yang kaya dengan hasil minyak semakin memuncak.

Menurut Lula, Brazil mengikuti rapat perkembangan isu Essequibo dan menawarkan bantuan bagi mendamaikan kedua-dua negara.

"Kami sentiasa mengikuti perkembangan isu Essequibo", kata Lula yang turut menggesa komuniti Amerika Latin dan negara-negara Caribbean agak mengadakan perundingan bagi menamatkan konflik.

"Kami tidak mahu sebarang konflik. Kami inginkan keamanan", kata Lula.

Rabu lalu, Kementerian Pertahanan Brazil dilaporkan berkata negara berkenaan telah dikerah ke utara sempadan bagi bersiap siaga segala kemungkinan.

Pertikaian terhadap wilayah Essequibo memuncak sejak Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menjalankan referendum kontroversi menyaksikan 95 peratus rakyat menyokong agar Venezuela mengiktiraf kedaulatan dan kekuasaan negara itu ke atas wilayah Essequibo.

Selasa lalu, Caracas mencadangkan rang undang-undang bagi mewujudkan wilayah Venezuela di Essequibo, dan mengarahkan syarikat minyak negara itu mengeluarkan lesen untuk mengekstrak minyak mentah di rantau berkenaan.

Tuntutan Venezuela terhadap Essequibo, telah memuncak semula dalam beberapa tahun kebelakangan ini selepas Guyana menemui minyak dan gas berhampiran sempadan maritim.

Wilayah berkenaan meliputi lebih daripada dua pertiga jumlah keluasan Guyana.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dijangka membuat keputusan mengenai permintaan Guyana bagi membatalkan referendum berkenaan.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD