fb fb fb fb fb

Jepun longgarkan peraturan eksport pesawat pejuang stealth

FOTO HIASAN

TOKYO, 26 Mac- Kerajaan Jepun pada Selasa melonggarkan sekatan eksport aset ketenteraan, perubahan kedua dalam tempoh kurang daripada empat bulan, bagi membolehkan penjualan jet pejuang stealth yang sedang dibangunkannya bersama Britain dan Itali.

Perubahan peraturan itu hanya terpakai kepada eksport jet pejuang yang diluluskan oleh Kabinet dan akan terhad kepada 15 negara buat masa ini (termasuk Malaysia) yang mempunyai kerjasama pertahanan dengan Tokyo.

Menurut kenyataan daripada kerajaan, perkara itu adalah sebahagian komitmen untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa secara aman mengikut piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Eksport ke negara yang terlibat dalam konflik akan kekal di luar had, tambahnya.

Walaupun skop terhad, perubahan itu, yang berlaku selepas berbulan-bulan pertelingkahan politik antara Parti Liberal Demokratik yang memerintah dan rakan gabungan Komeito, mewakili peralihan terbesar dalam dasar eksport ketenteraan Jepun dalam satu dekad, menghapuskan halangan yang berpotensi yang boleh mengganggu program jet pejuang itu.

Menerusi Global Combat Air Programme (GCAP), Jepun, Britain dan Itali pada tahun lepas menubuhkan organisasi bersama dan kumpulan industri yang diketuai oleh BAE Systems PLC (Britain), Mitsubishi Heavy Industries (Jepun) dan Leonardo (Itali) untuk membangunkan dan menggunakan pesawat pejuang termaju itu menjelang pertengahan dekad akan datang.

Program tersebut menyasarkan pengeluaran pesawat pertama pada tahun 2035

Sebarang larangan eksport Jepun yang menghentikan jualan luar negara dan bilangan pengeluaran terhad boleh menyebabkan pesawat itu tidak mampu dibeli kerana perbelanjaan pembangunan perlu disalurkan ke seluruh kumpulan yang lebih kecil.

Perubahan peraturan itu tetap menjadi kontroversi di Jepun kerana negara itu masih berpegang kepada perlembagaan yang menolak perang yang diterima pakai selepas kekalahannya dalam Perang Dunia Kedua.

Ia juga berlaku selepas kerajaan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada Disember mengubah peraturan eksport berasingan untuk membenarkan pemindahan peralatan pertahanan yang dibina kepada negara yang memegang reka bentuk.

Ia akan membolehkan Jepun menghantar peluru berpandu pertahanan udara Patriot ke A.S.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE