fb fb fb fb fb

Lelaki maut Selepas ditolak ke landasan kereta api bawah tanah

FOTO REUTERS

NEW YORK, 26 Mac- Seorang lelaki terbunuh pada Isnin apabila orang yang tidak dikenali menolaknya ke landasan kereta api bawah tanah New York City ketika ketapi api sedang bergerak.

Susulan itu, seorang suspek telah ditangkap, kata polis.

Serangan 'tanpa provokasi' itu berlaku kira-kira pukul 7 malam di stesen 125th Street.

Kereta api itu tidak dapat berhenti tepat pada masanya dan telah menggilis mangsa.

Anggota perubatan kecemasan menyatakan mangsa meninggal dunia beberapa minit kemudian, kata jurucakap polis.

Identiti mangsa masih tidak diketahui dan siasatan sedang dijalankan, kata jurucakap itu. Polis turut tidak memberikan maklumat lanjut mengenai suspek yang dikatakan kurang siuman.

Insiden itu berlaku di tengah-tengah peningkatan penguatkuasaan undang-undang dalam sistem kereta api bawah tanah selepas beberapa siri serangan berprofil tinggi, walaupun jumlah keseluruhan jenayah menunjukkan penurunan.

Gabenor New York, Kathy Hochul tiga minggu lalu berkata dia akan mengerahkan 750 askar dari Pengawal Kebangsaan negeri itu untuk membantu polis New York City memeriksa beg penumpang di stesen paling sibuk.

250 lagi pegawai dari Polis Negeri New York dan Polis Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan turut menyertai usaha itu, yang menurut Hochul bertujuan untuk memerangi jenayah.

Kes jenayah yang direkodkan membabitkan kereta api bawah tanah menurun kira-kira 15 peratus pada Februari berbanding bulan yang sama pada 2023, menurut data polis.

Datuk Bandar New York Eric Adams, yang pernah membuat rondaan kereta api bawah tanah ketika menjadi pegawai polis, berkata beliau menghantar kira-kira 1,000 pegawai tambahan ke dalam kereta api bawah tanah itu pada Februari selepas berlaku peningkatan serangan dan kecurian pada Januari.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE