WASHINGTON, 15 Januari - Jepun berikrar akan memulihkan kembali hubungan masa depannya dengan Korea Selatan.
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata kerajaan pimpinannya optimis untuk menyelesaikan pertikaian lama berkaitan buruh paksa ketika zaman perang.

Hotel Willard di Washington / FOTO AFP
Kishida berkata beliau dan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol komited untuk segera menyelesaikan sebarang isu yang masih berbangkit.
"Kami mahu memulihkan hubungan dua hala kepada keadaan yang lebih sihat dan berkembang," kata Kishida pada sidang akhbar semasa lawatannya ke Washington.
Yoon sejak menang tipis dalam pilihan raya tahun lepas telah berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan Jepun.
Terdahulu, dalam pertemuan bersama Presiden Joe Biden, Kishida menyuarakan kebimbangannya terhadap tahap keselamatan di Asia Timur, ketika ini.
Ini berikutan sikap China dan Korea Utara yang didakwa suka mencetuskan provokasi.
Keadaan itu katanya boleh meningkatkan ketegangan di Asia Timur seterusnya cenderung mencetuskan konflik lebih besar seperti terjadi di Ukraine.
Jelasnya, keadaan di Jepun juga menjadi semakin teruk dengan percubaan unilateral Beijing untuk mengubah status quo secara paksa di Laut China Timur dan Laut China Selatan.
Selain pengaktifan aktiviti nuklear dan peluru berpandu oleh Pyongyang.-AFP