SEOUL, 24 November - Mahkamah Tinggi Korea Selatan mengarahkan Jepun membayar pampasan kepada 16 wanita yang dipaksa menjadi hamba seks ketika era jajahannya.
Legasi penjajahan Jepun di semenanjung Korea dari 1910-1945 masih menjadi isu politik sensitif bagi kedua-dua pihak, dengan ramai wanita yang menjadi hamba seks – atau digelar “comfort women” oleh Jepun - masih mendesak permohonan maaf dan bayaran pampasan daripada Tokyo.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Jepun tidak mengulas keputusan mahkamah itu.
Hubungan dua hala antara dua sekutu AS itu terkesan selama bertahun-tahun akibat isu jenayah seksual dan buruh paksa ketika zaman perang.
Tetapi Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berusaha membaiki keadaan.
Enam belas mangsa itu memfailkan saman pada 2016 dengan menuntut pampasan 200 juta won (dianggarkan RM718,128.42) setiap seorang.
Bagaimanapun, mahkamah daerah di Seoul menolak saman itu pada 2021 atas dasar kekebalan berdaulat yang mengecualikan sebuah negara daripada saman sivil oleh mahkamah asing.
Mahkamah Tinggi Seoul menterbalikkan keputusan berkenaan dengan mengiktiraf bidang kuasa mahkamah Korea Selatan terhadap kerajaan Jepun sebagai defendan.
“Munasabah untuk mempertimbangkan bahawa wujud undang-undang antarabangsa yang tidak mengiktiraf sesebuah negara kebal atas perbuatan yang menyalahi perundangan… tidak kira sama ada perbuatan itu adalah tindakan berdaulat,” menurut kenyataan mahkamah rayuan itu.
Mahkamah turut berkata kes berkenaan jatuh dalam bidang kuasa Korea Selatan kerana plaintif tinggal di negara itu, dan menuntut pampasan bagi tindakan yang dianggap “menyalahi undang-undang” menurut perundangan sivilnya.
Tokyo berkata isu itu diselesaikan menerusi triti pada 1965 yang menormalisasikan hubungan diplomatik, dan dua negara jiran itu bersetuju menamatkan perbalahan berkenaan pada 2015.
Lee Yong-soo, aktivis dan mangsa berusia 95 tahun yang juga antara plaintif kes itu, menerima keputusan berkenaan dan mengucapkan terima kasih kepada mahkamah atas penghakimannya.
“Saya bersyukur. Saya sangat bersyukur,” katanya sebak ketika meninggalkan bangunan mahkamah.
Bagaimanapun Yong Soo terkilan kerana tidak dapat berkongsi berita baik itu bersama mangsa lain yang telah meninggal dunia. - REUTERS