fb fb fb fb fb

Jepun buat persiapan buka pintu sempadan Jun depan

TOKYO, 26 Mei- Kerajaan Jepun sedang membuat persiapan akhir untuk membuka semula pintu sempadan kepada pelancong asing pada Jun, memetik laporan Agensi Berita Kyodo.

Sejak Mac, Jepun melonggarkan kawalan sempadan yang dikenakan susulan pandemik COVID-19, dan kini negara ini merancang untuk menambah had ketibaan luar negara kepada 20,000 sehari bermula 1 Jun.

Jepun akan menerima pelancong asing berdasarkan kuota, kata sumber itu pada Rabu.

Perdana Menteri Fumio Kishida dijangka mengumumkan perkara itu paling awal pada Khamis.

(Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida /AFP)

Jepun satu-satunya anggota Kumpulan Tujuh Negara yang masih belum membuka pintunya untuk kemasukan pelancong asing.

Sebagai permulaan, Jepun pada Selasa mula menerima lawatan berskala kecil untuk pelancong yang divaksin dari Amerika Syarikat, Australia, Thailand dan Singapura.

Jumlah pelawat asing ke Jepun mencatatkan rekod 31.88 juta pada 2019 dan angka itu menjunam ke paras terendah iaitu 245,900 pada 2021.

Jepun menyasarkan untuk menarik sehingga 60 juta pelancong asing pada 2030. -AFP

Media Baharu