fb fb fb fb fb

Jadikan isteri sebagai tahanan, lelaki dipenjara sembilan tahun

(FOTO thestar.com.my)

BEIJING, 7 April-Seorang lelaki di China dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah selepas menjadikan isterinya sebagai tahanan di sebuah perkampungan terpencil.

Lelaki itu yang juga tertuduh utama, Dong Zhimin dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun atas jenayah penderaan dan penahanan haram menerusi kenyataan yang dikeluarkan mahkamah di Xuzhou, salah sebuah bandar yang berdekatan dengan Shanghai.

Lima lagi tertuduh yang turut terlibat dalam kes berkenaan didapati bersalah atas tuduhan penculikan dan pemerdagangan manusia dan dijatuhi hukuman penjara antara lapan ke 13 tahun.

Pihak berkuasa memaklumkan wanita malang itu dikenali sebagai Xiaohuamei diculik daripada kampungnya di Yunnan sejauh 2,000 kilometer dari lokasi dia ditemui.

Xiaohuamei dipercayai telah dijual beberapa kali pada 1998 dengan harga 5,000 Yuan sebelum dipaksa berkahwin dengan tertuduh (Dong) yang telah mempunyai lapan orang anak.

Dong kemudiannya bertindak menjadikan Xiaohuamei sebagai tahanan di sebuah rumah yang kotor dan tidak mempunyai perlindungan asas daripada musim salji.

Wanita itu kemudiannya di diagnosis mempunyai penyakit schizophrenia.

Imej mengerikan yang dikongsikan menerusi platform video Douyin memaparkan Xiaohuamei dirantai dilehernya di dalam sebuah rumah ketika musim salji tahun lepas menimbulkan kemarahan pengguna sosial.

Rata-rata pengguna sosial melihat hukuman yang dkenakan pihak berkuasa kepada tertuduh adalah hukuman yang ringan.

"Hanya sembilan tahun penjara kerana telah merosakkan kehidupan seseorang," tulis seorang pengguna platform media sosial Weibo.

Dasar satu anak yang dilonggarkan kerajaan China pada 2016 telah menyebabkan kekurangan wanita kerana keutamaan kepada kanak-kanak lelaki.

Menurut satu laporan Kongres Amerika, Ketidakseimbangan jantina yang wujud dipercayai telah mencetuskan pemerdagangan manusia dengan wanita muda diculik dan dipaksa berkahwin di kampung yang lebih ramai lelaki berbanding wanita-AFP.

(Xiaohuamei yang dirantai dan ditahan di sebuah rumah di Xuzhou/FOTO thestar.com.my)

Media Baharu