fb fb fb fb fb

Israel bedil Lubnan dan Gaza

(FOTO AFP)

BAITULMAQDIS, 7 April-Israel melancarkan serangan udara ke Semenanjung Gaza dan Lubnan menyasarkan kumpulan pejuang Hamas.

Serangan udara itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan roket oleh kumpulan pejuang terbabit dari kedua-dua wilayah berkenaan sebelum ini.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan tentera Israel, serangan itu dilancarkan sekitar jam 4 pagi waktu tempatan.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan tentera Israel menyerang sasaran termasuk infrastruktur pertahanan milik pejuang Hamas di selatan Lubnan.

Pada hari Khamis, tentera Israel berkata lebih 30 roket telah dilepaskan dari wilayah Lubnan ke Israel menyaksikan jumlah terbesar serangan roket di sempadan sejak peperangan Israel dan Hizbullah yang berlangsung selama 34 hari pada 2006.

Beberapa jam sebelum Israel melancarkan serangan udara ke selatan Lubnan, beberapa peluru berpandu dilancarkan dari Gaza ke Israel.

Tentera Israel berkata pertahanan udaranya berjaya memintas 25 daripada roket yang dilancarkan, manakala lima roket memasuki wilayahnya.

Selepas serangan ke Lubnan, tentera Israel berkata mereka tidak akan membenarkan pasukan pejuang Hamas beroperasi di Lubnan dan menganggap negara itu bertanggungjawab terhadap serangan yang disasarkan terhadap Israel.-AFP


(Kesan serangan Israel di selatan Lubnan/FOTO AFP)

Media Baharu