(Sut putih 'Saturday Night Fever' bakal dilelong sehingga harga AS$200,000 / AFP)
GARDENA, 7 April- Jika anda pernah bermimpi menjadi legenda disko dan, jujurlah, siapa yang tidak? Ini mungkin peluang anda, kerana sut 'Saturday Night Fever' John Travolta akan dilelong.
Sut digayakan Travolta yang 'mencairkan' banyak hati wanita pada tahun 1970-an, adalah sebahagian koleksi 'Hollywood: Klasik dan Kontemporari' di Julien's Auctions di Beverly Hills yang akan dilelong bulan ini.
"Maksud saya, ini adalah era disko," kata ketua eksekutif pusat lelong Martin Nolan.
"Inilah yang kami ingat. Apabila orang bercakap tentang disko, anda fikir 'Saturday Night Fever,' anda fikir Bee Gees, anda fikir John Travolta."
Sut itu, dengan potongan pinggang tinggi, seluar bootcut dijangka bakal dilelong sehingga harga AS$200,000 pada lelongan yang dijadualkan pada 22-23 April.
Tetapi, menurut Nolan, nilai itu boleh menjadi lebih tinggi.
Tawaran itu adalah salah satu daripada kira-kira 1,400 item untuk direbut pada lelongan tersebut.
Barangan lain termasuk tongkat Charlie Chaplin, papan selaju daripada 'Back to the Future III' dan hiasan kepala yang dipakai oleh Theda Bara dalam 'Cleopatra' 1917.
Peminat Harry Potter turut berpeluang membida pelbagai tongkat prop, manakala terdapat juga pakaian daripada francais termasuk 'John Wick', 'Batman,' 'Iron Man' dan 'Star Wars.
(Papan selaju daripada 'Back to the Future III' dan hiasan kepala yang
dipakai oleh Theda Bara dalam 'Cleopatra' 1917 turut bakal dilelong / AFP)