(Pencemaran udara di Bangkok pada Mac lalu/REUTERS)
BANGKOK, 7 April- Pihak berkuasa Thailand menggesa orang ramai di bandar Chiang Mai di utara Thai untuk tinggal di dalam rumah dan bekerja dari rumah, susulan pencemaran udara meningkat ke tahap berbahaya.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kepulan asap menyelubungi destinasi pelancongan popular itu yang berpunca daripada kebakaran hutan serta aktiviti pembakaran untuk pertanian.
Hari ini, laman sesawang Pemantauan Udara IQAir mencatatkan Chiang Mai sebagai bandar utama paling tercemar di dunia, selepas kawasan panas seperti New Delhi dan Lahore.
(Pencemaran udara di Chiang Mai, Thailand pada 10 Mac 2023/AFP)
"Paras zarah PM2.5 yang paling berbahaya, sangat kecil sehingga boleh memasuki saluran darah, adalah lebih daripada 66 kali ganda, garis panduan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia" (WHO) menurut IQAir.
Sementara itu, Gabenor Wilayah Chiang Mai, Nirat Pongsittitavorn mengeluarkan kenyataan yang menggesa orang ramai untuk berada di dalam rumah dan bekerja dari rumah untuk "melindungi diri dan mengurangkan kesan kepada kesihatan mereka.
Pencemaran udara di Thailand meningkat sejak awal tahun, sebahagiannya disebabkan oleh aktiviti pembakaran untuk kegunaan pertanian.
Menurut Kementerian Kesihatan Awam, hampir dua juta orang memerlukan rawatan hospital untuk masalah pernafasan yang disebabkan oleh pencemaran udara tahun ini.
Februari lalu, pihak berkuasa sebelum ini memberi amaran kepada penduduk Bangkok untuk tinggal di dalam rumah dan bekerja dari rumah kerana ibu kota itu dilanda jerebu berbahaya.-AFP