fb fb fb fb fb

Jacinda Ardern positif COVID-19

WELLINGTON, 14 Mei- Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern disahkan positif COVID-19.

Perkara tersebut dimaklumkan pejabat beliau menerusi satu kenyataan.

Bagaimanapun, Ardern hanya mengalami gejala ringan dan akan menjalani kuarantin di rumah selama tujuh hari.

Ardern telah menjalani pengasingan sejak Ahad lalu apabila pasangannya, Clarke Gayford telah disahkan positif COVID-19.

Kenyataan itu turut menyebut, misi perdagangan Ardern ke Amerika Syarikat (AS) tidak terjejas.

Butiran perjalanan tersebut belum disahkan dan Ardern dijadual menyampaikan ucaptama di Universiti Harvard pada 26 Mei ini.

Sementara itu, Ardern turut memuat naik sekeping foto kit ujian kendiri miliknya yang menunjukkan keputusan positif COVID-19 di laman Instagram beliau.

Dalam hantaran tersebut Ardern memaklumkan tidak akan hadir ke Parlimen untuk dua pengumuman domestik berprofil tinggi membabitkan pelan pengurangan pelepasan gas karbon yang akan dibentangkan pada Isnin ini dan bajet tahunan pada Khamis.

"Ia merupakan minggu penting untuk kerajaan dan saya kecewa kerana tidak dapat hadir.

Tetapi saya akan kekal berhubung rapat dengan pasukan dan berkongsiĀ pandangan dari sini," katanya menerusi hantaran di Instagram.

(Kit ujian kendiri milik Ardern yang dimuat naik di Instagram menunjukkan keputusan positif COVID-19 / Foto Instagram Jacinda Ardern)

New Zealand merupakan antara negara yang mengenakan sekatan paling ketat bagi membendung penularan wabak COVID-19 sejak ia mula dikesan pada tahun 2020.

Negara itu berdepan lonjakan penularan varian Omicron selepas sekatan dilonggarkan pada Mac lalu, dengan Ardern menjadi antara lebih 50,000 individu dijangkiti COVID-19 sejak minggu lalu.

New Zealand kekal sebagai antara negara maju yang mencatatkan jumlah kematian terendah akibat COVID-19 iaitu 892 kes setakat ini.- AFP

Media Baharu