ROM, 12 September – Itali dan Turkiye bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam membanteras migrasi haram, khususnya dari Libya.
Menteri Luar Itali, Antonio Tajani dan rakan sejawatnya dari Turkiye, Hakan Fidan menandatangani sebuah 'dokumen operasi' yang memperkukuh kerjasama antara pengawal pantai kedua-dua negara dalam usaha membanteras jenayah penyeludupan manusia dan jenayah terancang rentas sempadan.
"Tindakan ini akan sangat berguna di Libya, terutama dalam mencegah penghantaran migran haram ke Eropah," kata Tajani pada sidang media bersama di Rom.
"Kami akan bekerjasama dalam melatih agensi penguatkuasaan undang-undang untuk melumpuhkan rangkaian jenayah di Mediterranean," katanya.
"Kedua-dua negara kita mempunyai kepentingan terhadap kestabilan Libya," ujar Tajani.
Sementara itu, Hakan Fidan menegaskan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama strategik antara Itali dan Turkiye, serta menekankan keperluan memajukan proses politik di Libya bagi menjamin kestabilan negara itu.
Libya merupakan laluan transit utama bagi ribuan migran yang cuba menyeberangi Laut Mediterranean setiap tahun untuk menuju ke Eropah.
Pada Ogos lalu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menganjurkan sidang kemuncak di Istanbul bagi membincangkan isu migrasi dan kestabilan Libya yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Itali, Georgia Meloni dan Ketua Kerajaan Libya, Abdelhamid Dbeiba.
Satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Itali menyatakan bahawa Rome dan Ankara akan mempertimbangkan untuk bekerjasama dan menyelaras usaha membanteras penyeludupan manusia serta menguruskan migrasi mengikut piawaian antarabangsa.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk menyediakan latihan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang yang memohon, berkaitan jenayah terancang melibatkan penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia, termasuk menjalankan siasatan.-AFP