KATHMANDU, 11 September – Golongan belia yang terlibat dalam tunjuk perasaan di Nepal menyuarakan sokongan agar bekas Ketua Hakim Negara wanita pertama, Sushila Karki, dilantik sebagai pemimpin interim negara yang kini berdepan kekacauan politik.
Kumpulan belia tersebut turut menggesa agar Parlimen dibubarkan, susulan krisis kepimpinan yang memuncak selepas Perdana Menteri Nepal meletak jawatan, susulan protes ganas yang meragut nyawa.
Seorang pemimpin belia, Junal Gadal, berkata negara memerlukan tokoh yang memahami selok-belok undang-undang dan sistem perlembagaan.
“Kita perlukan seseorang yang memahami undang-undang dan aspek perlembagaan dengan baik, serta mempunyai kematangan dalam membuat keputusan.
"Pada pendapat saya, Sushila Karki adalah calon paling sesuai untuk menjadi penjaga negara,” katanya kepada media tempatan.
Sushila Karki, 73, pernah mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Nepal pada tahun 2016. Beliau kini bersara, namun dilihat sebagai calon utama untuk mengetuai kerajaan sementara negara Himalaya itu, yang terletak di antara India dan China.
Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Nepal, jumlah korban akibat tunjuk perasaan itu meningkat kepada 34 orang, manakala lebih 1,300 orang dilaporkan cedera.
Keadaan di ibu kota Kathmandu masih tegang, namun terkawal.
Pasukan tentera dilihat meneruskan rondaan di jalan-jalan utama, manakala kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan kolej masih ditutup. Beberapa perkhidmatan penting di bandar itu telah mula beroperasi semula.-REUTERS