ATLANTA, 12 September - Sebuah penerbangan sewa khas yang membawa ratusan pekerja Korea Selatan, yang ditahan dalam serbuan imigresen baru-baru ini, berlepas dari Lapangan Terbang Atlanta pada Khamis menuju ke Seoul.
Pesawat berkenaan berlepas dari Amerika Syarikat sebelum tengah hari waktu tempatan (1600 GMT).
Rakaman televisyen menunjukkan para pekerja menaiki bas di luar pagar berduri pusat tahanan kira-kira pukul 2.00 pagi, pada Khamis, sebelum dibawa ke lapangan terbang.
Seramai 300 rakyat Korea Selatan ditahan minggu lalu bersama lebih 150 individu lain di sebuah tapak pembinaan projek bernilai AS$4.3 bilion di Georgia.
Projek tersebut merupakan kerjasama antara Hyundai Motor dan LG Energy Solution bagi pembinaan kilang bateri untuk kenderaan elektrik.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan menawarkan kepada para pekerja untuk kekal di negara itu.
Namun, menurut pegawai Korea Selatan pada Khamis, hanya seorang yang memilih untuk terus menetap di Amerika Syarikat.
Menurut pegawai, tawaran Trump itu bertujuan menggalakkan para pekerja terbabit kekal bagi membantu melatih tenaga kerja tempatan.-REUTERS