MIRANDA, 12 September – Kesemua 11 individu yang terbunuh dalam serangan tentera Amerika Syarikat (A.S.) terhadap sebuah bot di Caribbean minggu lalu bukan merupakan anggota kumpulan penjenayah Venezuela, Tren de Aragua.
Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri Venezuela Diosdado Cabello, dalam satu kenyataan disiarkan menerusi televisyen negara.
"Mereka secara terbuka mengaku membunuh 11 orang. Kami telah menjalankan siasatan di negara ini dan keluarga mangsa yang hilang tampil menuntut keadilan.
"Apabila kami membuat penelitian di kawasan kejadian, tiada seorang pun daripada mereka merupakan anggota Tren de Aragua atau terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah," katanya.
Sementara itu, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mendakwa bot berkenaan membawa dadah, namun hanya memberikan sedikit maklumat berhubung kejadian itu. Beberapa ahli Kongres A.S. turut menuntut penjelasan lanjut mengenai tindakan itu.
Dalam pada itu, kerajaan Venezuela menyatakan video serangan yang dimuat naik Trump selepas kejadian tersebut merupakan hasil manipulasi kecerdasan buatan (AI).
Setakat ini, pihak Pentagon belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.
Susulan kejadian itu, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mengumumkan penempatan pasukan tentera, polis dan pertahanan awam di 284 lokasi strategik di seluruh negara sebagai langkah kesiapsiagaan pertahanan.
Tindakan berkenaan dilihat sebagai reaksi terhadap peningkatan kehadiran ketenteraan A.S. di selatan Caribbean, termasuk arahan penghantaran 10 pesawat pejuang F-35 ke sebuah pangkalan udara di Puerto Rico sebagai sebahagian daripada operasi membanteras penyeludupan dadah.-REUTERS