RIMINI, 27 Ogos - Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengecam tindakan rejim zionis Israel yang sengaja menyasarkan kemudahan kesihatan dan petugas media.
Meloni menyifatkan, pembunuhan ke atas sekumpulan petugas media di Gaza adalah tindakan yang tidak wajar.
"Ia adalah serangan yang tidak dapat diterima ke atas hak kebebasan media. Ke semua mereka berani mempertaruhkan nyawa untuk melaporkan tragedi perang,'' katanya.
Rejim zionis dalam pada itu mendakwa tenteranya tidak menyasarkan kumpulan petugas media dan hospital berkenaan dan akan menyiasat perkara tersebut.
Israel menyerang Hospital Nasser di selatan Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk lima wartawan yang bekerja untuk Reuters, Associated Press dan Al Jazeera.
Meloni juga menyeru Israel untuk menamatkan pendudukan tenteranya di Gaza dan membenarkan bantuan masuk wilayah Palestin yang dijajah tersebut.
Dalam pada itu, Meloni turut menggesa rejim zionis menghentikan tindakan merampas tanah di Tebing Barat.- Reuters