SIALKOT, 28 Ogos - India pada Rabu membuka semua pintu empangan utama di sungai-sungai wilayah Kashmir yang dikawalnya susulan hujan lebat, sekali gus memberi amaran kepada Pakistan mengenai kemungkinan banjir di kawasan hilir.
Amaran itu disahkan oleh kerajaan Pakistan yang kemudiannya mengeluarkan amaran banjir bagi tiga sungai utama yang mengalir masuk dari India.
Kedua-dua negara jiran yang sering berseteru itu kini berdepan bencana hujan monsun luar biasa dan banjir sejak beberapa minggu lalu.
Pengerusi Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) Pakistan, Leftenan Jeneral Inam Haider Malik berkata, daerah Sialkot merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat hujan.
Wilayah Punjab yang menjadi nadi pertanian Pakistan dan menempatkan separuh daripada 240 juta penduduk negara itu, berisiko menghadapi banjir amat tinggi susulan gabungan hujan lebat dan pelepasan air empangan dari India.
Sejak bermulanya musim monsun pada akhir Jun lalu, Pakistan merekodkan 802 kematian akibat banjir, dengan separuh daripada jumlah itu berlaku pada bulan Ogos sahaja. - REUTERS