fb fb fb fb fb

Itali diminta hantar tentera ke Gaza

Kehadiran Itali telah diminta untuk Gaza dan Palestin dalam sebarang pembinaan semula atau fasa peralihan pada masa depan / Foto AFP

ROM, 23 Disember - Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali Antonio Tajani, mengesahkan bahawa anggota tentera Itali telah diminta untuk menyokong usaha pembinaan semula atau fasa peralihan di Gaza dan Palestin, menurut laporan media tempatan pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Tajani membuat kenyataan itu ketika melawat pasukan tentera Itali yang ditempatkan di sebuah pangkalan sokongan ketenteraan di Djibouti serta di atas kapal frigat Antonio Marceglia sempena sambutan Krismas bersama anggota tentera, menurut agensi berita Itali, ANSA.

“Seperti rakan-rakan anda yang berkhidmat di seluruh dunia, anda adalah pembawa keamanan. Tentera Itali diperlukan di mana-mana.

“Kehadiran kita telah diminta untuk Gaza dan Palestin dalam sebarang pembinaan semula atau fasa peralihan pada masa depan,” kata Tajani kepada anggota tentera.

Beliau berkata perkara itu selari dengan pengiktirafan yang diterima pasukan Itali sebelum ini di Serbia, Kosovo, Albania dan Montenegro.

Tajani turut menekankan keupayaan serta kepelbagaian operasi tentera Itali, sambil menyatakan kebolehan mereka menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran.

Selain itu, beliau menegaskan kepentingan ekonomi strategik Itali di Laut Merah, yang menjadi laluan bagi kira-kira 40 peratus perdagangan maritim negara itu.

Pasukan tentera Itali ketika ini turut menyumbang kepada misi Kesatuan Eropah, "Aspides mission" yang dilancarkan pada Februari 2024 bagi memastikan keselamatan maritim di rantau berkenaan.

Mengenai kestabilan serantau, Tajani memberi amaran tentang risiko ketidaktentuan di Sudan yang berpotensi mencetuskan aliran migrasi tidak teratur ke arah Itali.-BERNAMA-ANADOLU

FAUZIAH ABD RAHMAN