(Sardar Meena berdiri berhampiri perigi lokasi tiga anaknya bersama cucu
ditemukan mati dipercayai dibunuh pada 31 Mei lalu/AFP)
JAIPUR, 8 Jun- Kematian tiga adik beradik perempuan di India baru-baru ini akibat isu mas kahwin atau hantaran perkahwinan menjadikan isu keganasan di India semakin panas tatkala isu penghinaan Nabi Muhammad S.A.W oleh ahli politik India dan Islamofobia belum reda.
Sebelum tiga beradik perempuan dan anak mereka ditemukan mati di dalam perigi, mangsa telah meninggalkan mesej menyalahkan ahli keluarga suami mereka.
Kalu, Kamlesh dan Mamta Meena adalah mangsa pertikaian mas kahwin, sejumlah nilai yang perlu dibayar oleh ibu bapa di India untuk mengahwinkan anak perempuan mereka.
Mangsa telah berkahwin dengan adik beradik lelaki dari rumah yang sama dan tinggal bersama, namun menurut saudara mangsa, mereka dikasari secara berterusan oleh suami dan keluarga mentua.
Mereka didera secara berterusan terutama apabila bapa mereka gagal memenuhi tuntutan mendapatkan lebih banyak mas kahwin, tambah saudara mangsa.
Ke semua mangsa ditemukan mati bulan lepas berhampiran rumah pasangan itu di sebuah kampung di pinggir Jaipur; bersama-sama seorang kanak-kanak dan bayi iaitu anak Kalu.
Kamlesh dan Mamta pula dilaporkan hamil.
“Kami tidak menginginkan kematian tapi lebih baik daripada didera,” menurut mesej di WhatsApp yang ditinggalkan salah seorang mangsa selepas kehilangan adik beradik itu, kata seorang sepupu mangsa.
"Ipar-duai kami adalah punca kematian kami. Kami mati bersama kerana ia lebih baik daripada “mati” (menderita) setiap hari," tulis mesej tersebut.
Menurut polis Jaipur kepada AFP, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai bunuh diri.
Menurut bapa kepada adik beradik itu, Sardar Meena, kehidapan anaknya umpama neraka, apabila mereka turut dihalang daripada melanjutkan pelajaran dan mereka sentiasa diganggu untuk mendapatkan lebih banyak mas kahwin.
“Kami sudah beri banyak benda, anda boleh lihat dalam rumah mereka,” kata Sardar kepada AFP sambil mengira katil, set televisyen dan peti ais yang diberikannya kepada keluarga tersebut.
“Saya bapa kepada enam anak perempuan, jumlah yang boleh saya berikan terhad,” tambah Sardar yang hanya bekerja sebagai petani.
"Saya telah memberi mereka (mangsa) pelajaran dan melakukan itu pun sudah cukup susah.”
Polis telah menahan ke tiga-tiga suami mangsa, ibu mentua dan kakak ipar mangsa atas kesalahan salah guna mas kahwin dan mendera pasangan.
(Seorang lelaki meletakkan kalungan bunga di potret tiga beradik perempuan
ditemukan mati dalam perigi dipercayai angkara suami/AFP)
-‘MARUAH KELUARGA’-
India telah mengharamkan amalan membayar mas kahwin yang diamalkan sejak lebih 60 tahun lalu dan peras ugut atas bayaran itu adalah satu kesalahan jenayah.
Meskipun begitu, adat tradisi itu tetap diamalkan khususnya di kawasan luar bandar, didorong oleh penerimaan sosial di India yang menganggap wanita memberi beban ekonomi dan pihak lelaki berhak menuntut pampasan untuk menerima mereka sebagai pasangan hidup atau pengantin perempuan.
Media tempatan juga kerap melaporkan kes pertikaian harta sepencarian yang berakhir dengan pembunuhan.
Tahun lepas, seorang lelaki di selatan negeri Kerala dihukum penjara seumur hidup kerana menggunakan bisa ular untuk membunuh isterinya dan mengambil ke semua harta yang ada termasuk sebuah kereta baharu dan wang tunai 500,000 rupee atau AS$6,500 yang diberikan keluarga mangsa kepada lelaki itu sebagai mas kahwin.
Bulan lalu, mahkamah mengenakan hukuman penjara selama 10 tahun kepada seorang lelaki atas kesalahan tuntutan berkaitan mas kahwin yang tidak munasabah sehingga menyebabkan isterinya membunuh diri.
Tabu berkaitan amalan cerai – hanya satu daripada 100 wanita berkahwin di India berakhir dengan pembubaran perkahwinan – menyebabkan wanita berkahwin enggan bercerai.
Untuk adik beradik Meena, meninggalkan pasangan bukan satu pilihan, meskipun saudara mara mengetahui keganasan dialami mereka.
“Setelah mereka berkahwin, kami merasakan mereka boleh hidup berumah tangga dan menjaga maruah keluarga,” kata Sardar.
-‘PENGHUJUNG JALAN’-
Biro Jenayah Kebangsaan India merekodkan hampir 7,000 kes bunuh berkaitan mas kahwin pada 2020 – kira-kira 19 wanita sehari.
Badan itu juga melaporkan lebih 1,700 wanita membunuh diri pada tahun sama, juga disebabkan isu mas kahwin.
Laporan itu hanya berdasarkan laporan polis dan menurut pakar jumlah sebenar kes jauh lebih tinggi, sama seperti data lain berkiatan keganasan keluarga.
“Dalam tempoh sejam, kira-kira 30 ke 40 wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga… dan ia baru dikomumentasikan, jadi jumlah sebenar mesti lebih daripada itu," kata Kavita Srivastava, seorang aktivis dengan Kesatuan Rakyat India untuk Kebebasan Awam kepada memberitahu AFP
Menurut Srivastava, pertikaian mas kahwin melibatkan adik-beradik Meena hanyalah sebahagian daripada usaha “pendera” untuk mengawal kehidupan dan menyekat kebebasan mangsa.
Punca utama, tambahnya adalah penerimaan sosial yang menyeluruh tentang keganasan rumah tangga di India yang menjadikan wanita berasa terperangkap dalam hubungan kekeluargaan yang menindas dan ganas.
“Jika hanya seorang wanita membunuh diri disebabkan masalah perkahwinan mereka adalah penghujung kehidupan, saya merasakan negara India gagal dalam hak wanita.” -AFP