(Kawasan di perkampungan Moshchun, barat laut Kiev musnah
selepas diserang tentera Rusia pada 20 April 2022/AFP)
WASHINGTON, 8 Jun- Bank Dunia pada Selasa meluluskan bantuan tambahan sebanyak AS$1.5 bilion kepada Ukraine.
Ini menjadikan jumlah pakej sokongan yang diluluskan untuk negara itu melebihi AS$4 bilion.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada akhir Februari telah mencetuskan krisis kemanusiaan dan memusnahkan ekonomi negara serta infrastruktur.
Ia turut menyekat eksport bijirin utama serta melemahkan keupayaan kerajaan untuk membayar bil.
Kenyataan Presiden Bank Dunia, David Malpass menyebut bantuan diberikan sebagai tanda sokongan berterusan kepada Ukraine dan rakyatnya yang sedang menghadapi peperangan.
(Presiden Bank Dunia, David Malpass/REUTERS)
Dana tersebut akan digunakan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan serta pekerja sosial.
"Bank Dunia menyediakan sokongan berterusan untuk Ukraine dan rakyatnya dalam menghadapi perang yang berterusan.
"Kami bekerjasama dengan negara penderma untuk menggerakkan sokongan kewangan dan memanfaatkan fleksibiliti pelbagai instrumen pembiayaan untuk membantu menyediakan akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial kepada rakyat Ukraine," katanya
Sebelum ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata kerajaan memerlukan AS$7bilion bantuan sebulan untuk terus berfungsi.-AFP