fb fb fb fb fb

Israel terus serang, kepung Hospital Khan Younis

Mayat rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel, di Hospital Eropah di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza, semalam/FOTO REUTERS

GAZA, 24 Januari - Beberapa hospital di barat Khan Younis di serang dan dikepung dalam pertempuran sengit yang berlaku di selatan Semenanjung Gaza.

Keadaan itu menyebabkan puluhan pesakit disekat daripada menerima rawatan kecemasan.

Pertempuran itu disifatkan paling berdarah di Gaza sepanjang bulan ini apabila tentera Israel mara jauh ke daerah Al-Mawasi berhampiran Pantai Mediterranean.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra berkata, rejim Zionis bertindak menyerbu hospital Al-Khair dan menangkap beberapa kakitangan perubatan.

Puluhan kereta kebal turut mengepung hospital, Al-Amal yang menjadi ibu pejabat Bulan Sabit Merah Palestin.

Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh semalaman di Khan Yunis.

Serangan serta pengepungan kemudahan perubatan itu menyebabkan penyelamat gagal membantu berpuluh-puluh penduduk yang meninggal dunia dan cedera.

Israel melancarkan serangan besar-besaran minggu lalu untuk menawan Khan Younis yang kini didakwa sebagai ibu pejabat utama Hamas.

Fasa terbaharu perang membawa pertempuran jauh ke sudut terakhir wilayah tersebut walaupun kawasan itu diketahui penuh sesak dengan pelarian yang dipindahkan.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza dalam kemas kini terbaharu memaklumkan sekurang-kurangnya 25,295 penduduk Gaza terbunuh sejak 7 Oktober lalu.

Video menunjukkan keadaan tragis wad trauma di Hospital Nasser, satu-satunya kemudahan perubatan utama yang masih berfungsi dan boleh diakses di Khan Younis dengan penduduk cedera hanya dirawat di atas lantai dipenuhi darah.

Beberapa lelaki turut dilihat menggali kubur di dalam kawasan hospital kerana tidak lagi selamat untuk keluar ke tanah perkuburan bagi mengebumikan mayat keluarga mereka.

“Lebih 40 orang dikebumikan di kawasan hospital ini. Seorang lelaki dilihat meletakkan mayat seorang kanak-kanak kecil yang dibalut dengan kain kafan putih ke dalam lubang cetek di dalam pasir.

“Kami turut melalui malam yang paling mengerikan dengan tembakan yang tidak terhenti walaupun seminit. Bangunan terasa bergegar beberapa kali dan serpihan batu jatuh menimpa kami,” kata seorang penduduk, Abdelkarim Ahmad.- REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN