fb fb fb fb fb

Brazil rekod 1,161 bencana alam, tahun lalu

FOTO AFP

RIO DE JANEIRO, 24 Januari- Brazil dilanda lebih tiga bencana alam tahun lalu, menurut Pusat Bencana Alam Kebangsaan (Cemaden).

Sebanyak 1,161 bencana berlaku pada 2023, terutamanya banjir dan tanah runtuh, dengan jumlah korban sekurang-kurangnya 132 , lebih 9,000 cedera dan lebih 74,000 terpaksa meninggalkan rumah mereka.

Ia merupakan jumlah bencana tertinggi di negara Amerika Selatan sejak rekod bermula pada 2011.

Cemaden meletakkan jumlah ganti rugi lebih lima bilion reais (RM4.8 bilion), dalam satu pengiraan yang dikeluarkan minggu lepas.

“Perubahan iklim telah memberi kesan langsung kepada peningkatan kekerapan dan intensiti bencana alam,” kata saintis iklim Francisco Eliseu Aquino dari Universiti Persekutuan Rio Grande do Sul kepada AFP.

"Fenomena pemanasan El Nino di Lautan Atlantik hanya memburukkan lagi keadaan," tambahnya.

Cuaca melampau Brazil tahun lalu termasuk taufan yang jarang berlaku di selatan negara itu mengorbankan lebih 50 orang pada September, dan tanah runtuh di negeri Sao Paulo, mengorbankan lebih 60 orang pada Februari.

Kawasan lain pula dilanda kemarau terutamanya kawasan hutan hujan Amazon.

“Jumlah hujan jauh lebih besar daripada biasa di selatan dan lebih kecil di utara dan timur laut,” kata pengarah Cemaden Regina Alvala dalam satu kenyataan.

"Lautan yang lebih panas menghasilkan lebih banyak wap di atmosfera, dan akibatnya hujan lebih lebat," katanya.

Tahun lepas merekodkan suhu terpanas yang menyaksikan banyak bencana iklim di seluruh dunia, kerana suhu permukaan Bumi hampir melepasi ambang kritikal 1.5 darjah Celsius, menurut program pemantauan iklim Copernicus Kesatuan Eropah. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI