GAZA, 13 September- Sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, semalam.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), menurut sumber tempatan, insiden berlaku selepas pesawat tempur Israel menyasarkan rumah keluarga Shahin di kem pelarian tersebut.
"Selain itu, dua rumah lain milik keluarga Ajez dan Sha'er turut menjadi sasaran pengeboman Israel.
"Lima lagi penduduk Gaza termasuk tiga kanak-kanak mengalami kecederaan selepas Israel menyerang rumah keluarga Al-Hour di kem berkenaan," lapor WAFA.
Terdahulu, tiga orang terbunuh dalam satu serangan Israel yang menyasarkan rumah keluarga Hassan di kawasan Bir Na'ja, utara Gaza.
Dua lagi terbunuh dalam serangan dron di selatan Khan Yunis, sementara tiga lagi cedera dalam serangan yang menyasarkan orang awam di bandar Abasan, timur Khan Yunis.
Tambah WAFA, satu mayat ditemukan berhampiran persimpangan sempadan Karm Abu Salem dan telah dihantar ke Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis.
Serangan berterusan Israel terhadap Gaza sejak Oktober lalu telah mengakibatkan 41,118 penduduk Palestin terkorban dengan lebih 95,125 yang lain mengalami kecederaan.