fb fb fb fb fb

Israel serbu hospital di Gaza, syak kubu Hamas

Foto Reuters

KAHERAH, 27 Disember- Rejim Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan, salah satu daripada tiga kemudahan perubatan utama di utara Gaza, pada Jumaat.

Serangan itu memaksa pemindahan segera bagi puluhan pesakit dan ratusan orang lain, kata pegawai tempatan.

Dalam serangan berasingan, sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan terbunuh termasuk 15 mangsa di sebuah rumah di Bandar Gaza, menurut medik dan perkhidmatan kecemasan.

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan bahawa hubungan dengan kakitangan di hospital, yang telah berada di bawah tekanan hebat oleh tentera Israel selama beberapa minggu, telah terputus.

“Pasukan penjajah kini berada dalam hospital dan mereka sedang membakarnya,” kata Munir Al-Bursh, Pengarah Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas dalam satu kenyataan.

Tentera Israel mendakwa hospital itu menjadi “kubu Hamas” di mana aktiviti pengganas dijalankan, sambil menambah bahawa usaha telah dilakukan untuk memindahkan orang awam dan kakitangan perubatan dengan selamat sebelum operasi tersebut.

Namun, video yang berlegar di media Palestin dan Arab menunjukkan kawasan hospital itu dilanda kebakaran besar, tetapi Reuters tidak dapat mengesahkan video tersebut secara segera.

Hamas menyalahkan Israel dan Amerika Syarikat atas nasib pesakit, orang yang cedera dan kakitangan perubatan yang berada di dalam hospital itu.

Sejak serangan bermula, lebih 45,300 rakyat Palestin dilaporkan terkorban, menurut pegawai kesihatan di Gaza.

Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk telah kehilangan tempat tinggal, sementara kawasan utara Gaza hampir musnah sepenuhnya.-REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM