BAITULMAQDIS, 5 Oktober- Tentera Israel pada Sabtu berkata pasukannya menyerang pejuang Hezbollah di dalam sebuah masjid di selatan Lubnan pada waktu malam, serangan pertama seumpama itu sejak pertempuran antara Israel dan kumpulan itu meletus tahun lalu.
"Semalaman, dengan arahan risikan IDF (tentera), IAF (tentera udara) menyerang pengganas Hezbollah yang beroperasi di pusat komando dalam sebuah masjid bersebelahan dengan Hospital Salah Ghandour di selatan Lubnan," kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
"Pusat komando tersebut digunakan oleh pengganas Hezbollah untuk merancang dan melaksanakan serangan pengganas terhadap tentera IDF dan negara Israel."
Hospital Salah Ghandour, yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kesihatan Islam yang bersekutu dengan Hezbollah, mengatakan sembilan kakitangan perubatan dan jururawatnya cedera akibat serangan, kebanyakan mereka mengalami kecederaan serius, selepas menerima amaran daripada Israel untuk mengosongkan kawasan tersebut.
Agensi Berita Nasional yang dikendalikan oleh kerajaan Lubnan melaporkan bahawa kawasan hospital di bandar selatan Bint Jbeil "menjadi sasaran serangan Israel".
Pengarah hospital, Mohammed Sleiman, memberitahu AFP bahawa hospital tersebut terkena serangan secara langsung dan telah dipindahkan.-AFP