GAZA, 14 Ogos - Tentera Israel memusnahkan lebih 300 rumah dalam tempoh tiga hari lalu di kawasan kejiranan Zeitoun, tengah Gaza, sebagai sebahagian daripada rancangan pendudukannya yang berterusan.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal berkata, serangan besar-besaran itu dilancarkan dengan sengaja menyasarkan kawasan kediaman awam.
Beliau menjelaskan, tentera Israel menumpukan serangan terhadap bangunan setinggi lima tingkat atau lebih, dan penggunaan bahan letupan turut memusnahkan struktur bersebelahan.
Sebahagian rumah dimusnahkan ketika penduduk masih berada di dalamnya, menyebabkan kematian dengan kerja-kerja perobohan dilakukan tanpa sebarang amaran.
Pengeboman yang berterusan turut menghalang pasukan pertahanan awam daripada sampai kepada mangsa yang cedera.-BERNAMA