fb fb fb fb fb

Mahkamah Korea Selatan putuskan lagu ‘Baby Shark’ tidak ciplak

'Baby Shark Dance’ kini video paling banyak ditonton di YouTube dengan lebih 16 bilion tontonan.

SEOUL, 14 Ogos - Mahkamah Agung Korea Selatan memutuskan lagu kanak-kanak popular dunia “Baby Shark” bukan karya ciplak, sekali gus menolak tuntutan hak cipta yang difailkan oleh seorang komposer berpangkalan di Amerika Syarikat.

Video “Baby Shark Dance” dengan lirik yang mudah diingati kini menjadi video paling banyak ditonton di YouTube dengan lebih 16 bilion tontonan, hampir dua kali ganda berbanding video di tempat kedua “Despacito” dan “Wheels on the Bus” di tempat ketiga.

Pada 2019, komposer dari New York, Johnny Only atau nama sebenarnya Jonathan Wright, memfailkan saman di Seoul mendakwa lagu “Baby Shark” terbitan syarikat pendidikan Korea Selatan, SmartStudy, pada 2015 meniru lagu yang diterbitkannya pada 2011.

Only menuntut pampasan sebanyak 30 juta won (AS$21,700), menuduh syarikat itu meniru elemen karyanya termasuk garis bass dan rentak.

SmartStudy, yang kini dikenali sebagai The Pinkfong Company, berhujah versinya adalah adaptasi daripada lagu rakyat klasik Amerika Utara yang tidak dilindungi hak cipta.

Mahkamah peringkat pertama pada 2021 membebaskan syarikat itu daripada tuduhan tersebut selepas mendapati tiada bukti mencukupi untuk membuktikan pelanggaran hak cipta.

Keputusan itu dikekalkan oleh mahkamah rayuan pada 2023.

Only kemudian mencabar keputusan itu, namun Mahkamah Agung Korea Selatan pada Khamis mengesahkan semula keputusan terdahulu.

“Semua rayuan ditolak dan keputusan mahkamah terdahulu dikekalkan,” menurut dokumen mahkamah yang dilihat AFP.

The Pinkfong Company dalam kenyataannya berkata, keputusan Mahkamah Agung mengesahkan “Baby Shark” berasaskan nyanyian tradisional yang telah menjadi domain awam.

Menurut syarikat tersebut mereka memberikan sentuhan baharu kepada nyanyian itu dengan menambah rentak rancak dan melodi mudah diingati, menjadikannya ikon budaya pop masa kini.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN