fb fb fb fb fb

Israel luaskan penempatan haram, rampas lebih 112 ekar tanah Palestin

Foto fail

RAMALLAH, 3 September- Israel merampas lebih 112 ekar tanah Palestin di Tebing Barat yang diduduki bagi tujuan perluasan penempatan haram.

Perkara itu didedahkan menerusi laporan Anadolu Ajansi (AA) memetik sebuah badan kerajaan Palestin pada Selasa.

Palestinian Colonisation and Wall Resistance Commission (CWRC) dalam kenyataannya memaklumkan, tindakan itu dilakukan ketika Israel membincangkan kemungkinan pengilhakan wilayah diduduki itu.

Menurut suruhanjaya, tanah seluas lebih 112 ekar telah dirampas di bandar Jit dan Far’ata di timur Qalqilya, serta Tell di barat Nablus.

Israel mengisytiharkan kawasan itu sebagai “tanah negara”, istilah yang sering digunakan Tel Aviv untuk merampas tanah Palestin di Tebing Barat.

Kawasan berkenaan termasuk pos penempatan haram Havat Gilad, yang dibangunkan pada 2003 di atas tanah Palestin milik bandar Jit, Far’ata dan Tell.

Rampasan tanah bertujuan untuk menghalalkan status pos penempatan Havat Gilad, sebagaimana diumumkan oleh Israel.

Pada 20 Ogos lalu, Israel meluluskan projek penempatan mega yang dikenali sebagai E1, bertujuan membahagikan Tebing Barat kepada dua bahagian.

Tindakan itu sekali gus memutuskan bandar Ramallah dan Nablus di utara daripada Bethlehem dan Hebron di selatan serta mengasingkan Baitulmuqaddis Timur.

Masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggap penempatan Israel sebagai haram berdasarkan undang-undang antarabangsa.

PBB berulang kali memberi amaran bahawa perluasan penempatan secara berterusan mengancam kelangsungan penyelesaian dua negara, yang dianggap sebagai kerangka utama bagi menamatkan konflik Palestin-Israel selama puluhan tahun.

Sejak tercetusnya genosid Israel di Gaza pada Oktober 2023, sekurang-kurangnya 1,016 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 7,000 lagi cedera di Tebing Barat, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. -BERNAMA

FARIS IZZAT SHAHARUDIN