BEIJING, 3 September- Presiden China, Xi Jinping, menyambut ketibaan rakan sejawatnya, Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, ketika negara itu memulakan perarakan ketenteraan terbesar dalam sejarahnya, hari ini.
Perarakan selama 70 minit itu menampilkan pertunjukan udara, perarakan pasukan tentera serta pameran aset ketenteraan berteknologi tinggi termasuk peluru berpandu hipersonik, dron tanpa pemandu dan kereta kebal berperisai.
Xi dijadual menyemak barisan tentera yang beratur dalam formasi sebelum menyampaikan ucapan dasar.
Beberapa jalan utama dan sekolah di Beijing ditutup bagi memberi laluan kepada acara tersebut, yang merupakan kemuncak kepada persiapan keselamatan rapi dan latihan tengah malam sejak beberapa minggu lalu.
Pertunjukan “Hari Kemenangan” yang dikoreograf dengan teliti itu berlangsung ketika dasar “America First” oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan perang dagangan menjejaskan hubungan sekutu lama Washington. -REUTERS