fb fb fb fb fb

Israel lancar serangan udara bertali arus ke Gaza

FOTO AFP

GAZA, 11 Oktober- Israel terus melancarkan ribuan serangan udara ke atas Gaza.

Menteri Pertahan Israel, Yoav Gallant mengarahkan pengepungan sepenuhnya ke atas Gaza, menjejaskan bekalan elektrik, makanan, sumber air dan ketiadaan gas.

Puluhan ribu tentera dan perisai berat digerakkan berhampiran Gaza, dan memanggil 300,000 anggota simpanan untuk kempen yang digelar "Pedang Besi".

Netanyahu berikrar untuk menghancurkan tempat persembunyian Hamas di Gaza.

Hamas melancarkan gelombang roket di Ashkelon pada Selasa, dengan sekurang-kurangnya satu menembusi pertahanan udara Israel dan mengenai kawasan kediaman.

Sayap bersenjatanya, Briged Ezzedine al-Qassam berkata serangan udara Israel telah membunuh "empat tawanan musuh".


(FOTO AFP)

Menurut sumber wartawan di Gaza, empat wartawan Palestin terbunuh akibat serangan udara Israel.

Terdapat juga pertempuran di sempadan antara tentera Israel dan kumpulan Syiah Lubnan yang disokong Iran, Hizbullah.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata tindakan Israel memotong bekalan ke Gaza diharamkan di bawah undang-undang antarabangsa.

Kesatuan Eropah (EU) berkata ia sedang mengkaji semula pembayaran bantuan pembangunan kepada rakyat Palestin, selepas perbalahan tercetus antara negara anggota berhubung penggantungan pembayaran.

Rusia pula menyatakan, mewujudkan negara Palestin adalah penyelesaian "paling boleh dipercayai" untuk keamanan di Israel dan memerangi keganasan sahaja tidak akan menjamin keselamatan.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, yang menyokong kuat perjuangan Palestin, menggesa kedua-dua pihak menyokong keamanan.- AFP

Media Baharu