GAZA, 18 Januari- Hampir ratusan orang di Gaza terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan selatan wilayah sini, malam tadi.
Serangan terbaharu itu dilancarkan ketika bekalan ubat-ubatan untuk tebusan serta penduduk awam sedang memasuki wilayah tersebut.
Bantuan berkenaan disalurkan bawah perjanjian baharu, ujar pengantara Qatar.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, kira-kira 93 orang telah terbunuh termasuk 16 dalam serangan zionis ke atas sebuah rumah di selatan Rafah.
"Serangan turut membunuh wanita dan kanak-kanak dan sekurang-kurangnya 20 lagi cedera," katanya.
Sementara itu, Hamas melaporkan berpuluh-puluh serangan zionis di selatan Khan Yunis dan kem pelarian di tengah Gaza, semalam.
Bantuan ubat mula disalurkan sejak semalam bawah perjanjian yang diumumkan pada Selasa lalu berikutan pengantaraan Perancis dan Qatar.
Dua pesawat sebelum itu tiba di bandar El-Arish, Mesir berhampiran sempadan Gaza dengan 61 tan bantuan disediakan oleh Doha dan Perancis, termasuk ubat-ubatan dan makanan, menurut Qatar.
Perancis berkata, bekalan itu akan dihantar ke hospital di Rafah, diberikan kepada pasukan Palang Merah dan dibahagikan kepada beberapa kelompok sebelum dipindahkan kepada tebusan. -AFP