fb fb fb fb fb

Israel lakukan 'pembunuhan beramai-ramai' di Gaza - Amnesty

Seorang lelaki memegang kucing ketika dia dan yang lain memeriksa runtuhan bangunan selepas serangan Israel di Nuseirat/ AFP

BAITULMAQDIS, 6 Disember- Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza sejak permulaan serangan yang dilancarkan tahun lepas.

Kumpulan yang berpangkalan di London itu berkata penemuan laporan berkenaan berdasarkan imej satelit yang mendokumentasikan kemusnahan, kerja lapangan dan laporan darat daripada penduduk Gaza serta "kenyataan yang tidak berperikemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan pegawai kerajaan dan tentera Israel".

Namun Israel menolak penemuan itu dan mengatakan ia adalah "palsu", selain mengecam laporan itu sebagai "rekaan" dan "pembohongan".

Ketua Amnesty Agnes Callamard menuduh Israel melayan rakyat Palestin di Gaza "sebagai tidak berperikemanusiaan."

"Penemuan kami mesti menjadi peringatan kepada masyarakat antarabangsa: ini adalah pembunuhan beramai-ramai. Ia mesti dihentikan," katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan Hamas, mengalu-alukan laporan itu sebagai "mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa... mengenai keperluan untuk bertindak untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai ini".

Serangan Israel ke atas Gaza membunuh sekurang-kurangnya 44,580 penduduk yang kebanyakannya orang awam.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI