BAITULMAQDIS, 12 April- Tentera Israel pada Sabtu berkata mereka telah melengkapkan pengepungan ke atas bandar Rafah di Gaza sebagai sebahagian daripada pelan yang diumumkan untuk menguasai lebih banyak kawasan di wilayah Palestin itu, serentak dengan pemindahan besar-besaran penduduk.
"Dalam tempoh 24 jam lalu, pasukan Divisyen 36 telah menyempurnakan pengepungan Rafah dan menubuhkan Koridor Morag... yang memisahkan selatan Gaza antara Rafah dan Khan Yunis," menurut kenyataan tentera Israel.
Sejak menyambung semula operasi serangan terhadap Gaza pada 18 Mac, tentera Israel memaksa penduduk Palestin berpindah ke kawasan yang semakin mengecil dan terhad kepada pesisir pantai.
Pada 2 April, Israel mengumumkan bahawa pasukannya telah mula menguasai kawasan yang dinamakan sebagai Koridor Morag.
Sejak itu, ratusan ribu rakyat Palestin telah melarikan diri dari Rafah, sebuah kawasan seluas kira-kira 60 kilometer persegi yang bersempadan dengan Mesir di bahagian selatan.- REUTERS