fb fb fb fb fb

32 orang awam terbunuh dalam serangan di Sudan

Foto Fail

KHARTOUM, 12 April- Sekurang-kurangnya 32 orang awam terbunuh dalam serangan oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di El Fasher, ibu negeri Wilayah Darfur Utara, menurut tentera Sudan, lapor Xinhua.

“Mereka melancarkan serangan menggunakan dron secara besar-besaran ke atas El Fasher hari ini (Jumaat), disusuli serangan artileri serentak ke atas bandar itu,” kata Markas Pemerintah Divisyen Infantri Ke-6 Angkatan Tentera Sudan (SAF) dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jumlah korban termasuk empat wanita dan 10 kanak-kanak, manakala 17 lagi cedera dan menerima rawatan di hospital.

Penyelarasan Jawatankuasa Penentangan di El Fasher, sebuah kumpulan sukarelawan tempatan, turut mengesahkan serangan oleh RSF dan memaklumkan bahawa dron dan artileri menyasarkan kawasan utara dan timur bandar itu.

Kumpulan itu menasihatkan penduduk agar tidak berada di jalan raya berikutan aktiviti dron yang masih berterusan.

Rangkaian Doktor Sudan pula melaporkan serangan kedua oleh RSF ke atas kem pelarian Zamzam yang terletak berhampiran El Fasher, namun tiada korban dilaporkan setakat ini.

Rangkaian itu turut mengecam penggunaan artileri berat dalam serangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu peningkatan keganasan oleh RSF.

Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Darfur Utara Ibrahim Khatir mengesahkan serangan ke atas kem Zamzam kepada Xinhua tetapi berkata jumlah sebenar korban belum dapat dipastikan memandangkan lokasi kem yang jauh dari bandar dan masalah komunikasi.

Sejak 10 Mei 2024, pertempuran sengit tercetus antara tentera Sudan dan RSF di El Fasher, sebagai sebahagian daripada konflik lebih luas yang melanda Sudan sejak April 2023.

Menurut Armed Conflict Location and Event Data Project, yang dipetik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konflik antara kedua-dua pihak telah meragut lebih 29,683 nyawa.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi pula melaporkan lebih 15 juta orang telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik itu.- BERNAMA-XINHUA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM