fb fb fb fb fb

Iran-AS adakan rundingan nuklear di Muscat

Foto REUTERS

MUSCAT, 12 April- Menteri Luar Iran tiba di Muscat pada Sabtu bagi menghadiri rundingan peringkat tinggi dengan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha menghidupkan semula rundingan mengenai program nuklear Tehran yang semakin pesat berkembang, ketika Presiden AS, Donald Trump, mengancam tindakan ketenteraan sekiranya tiada persetujuan dicapai.

Abbas Araqchi mengetuai delegasi Iran di ibu negara Oman untuk rundingan dengan pihak AS, yang diwakili oleh Utusan Khas Presiden Trump, Steve Witkoff.

Iran menyambut rundingan itu dengan berhati-hati, skeptikal terhadap potensi kejayaan, serta terus curiga terhadap Trump yang berulang kali mengancam untuk mengebom negara itu sekiranya program nuklear tidak dihentikan.

Mereka juga masih belum sepakat sama ada rundingan perlu diadakan secara bersemuka, seperti yang dituntut Trump, atau secara tidak langsung, seperti yang dikehendaki Iran, walaupun kedua-dua pihak menyuarakan harapan terhadap kemajuan, jurang perbezaan masih ketara dalam pertikaian yang telah berlarutan lebih dua dekad.

Sebarang tanda kemajuan mungkin dapat meredakan ketegangan di rantau yang bergolak sejak 2023 melibatkan perang di Gaza dan Lubnan, tembakan peluru berpandu antara Iran dan Israel, serangan Huthi ke atas perkapalan di Laut Merah, serta kejatuhan kerajaan di Syria.

Namun, kegagalan rundingan dijangka memburukkan lagi kebimbangan terhadap konflik yang lebih meluas di rantau yang merupakan antara pengeksport utama minyak dunia.

Tehran turut memberi amaran kepada negara-negara jiran yang menempatkan pangkalan tentera AS bahawa mereka akan berdepan “akibat serius” sekiranya terlibat dalam sebarang serangan ketenteraan terhadap Iran. – REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM