fb fb fb fb fb

Israel kepung hospital dan kawasan perlindungan pelarian, sekat bantuan kemanusiaan

Foto REUTERS

GAZA, 22 Oktober-Tentera Israel memperketat kepungan ke atas hospital dan kawasan perlindungan pelarian di utara Gaza serta menghalang bantuan kritikal daripada sampai kepada penduduk yang memerlukan , kata penduduk dan petugas perubatan pada Isnin.

Peningkatan operasi itu menyebabkan ramai yang cedera dan terbunuh, manakala akses kepada bekalan penting seperti ubat-ubatan dan makanan tidak dibenarkan.

Di Kem Pelarian Jabalia, tentera Israel dilaporkan mengumpul penduduk lelaki dan mengarahkan penduduk wanita untuk meninggalkan kawasan tersebut.

Serangan udara Israel di sebuah rumah di Jabalia menyebabkan lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera, menurut pasukan perubatan tempatan.

Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menyatakan bahawa pihak berkuasa Israel telah menghalang misi kemanusiaan daripada memasuki kawasan utara Gaza dengan bekalan kritikal, termasuk ubat dan makanan.

Philippe Lazzarini, ketua UNRWA, dalam kenyataannya di platform X berkata, "Mereka yang cuba melarikan diri terbunuh, dan mayat mereka dibiarkan di jalanan."

Petugas perubatan di Hospital Indonesia melaporkan bahawa tentera Israel menyerbu sebuah sekolah dan menahan penduduk lelaki di sana sebelum membakar bangunan tersebut, menyebabkan api merebak ke penjana hospital dan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik.

Pegawai kesihatan Indonesia menolak arahan tentera Israel untuk memindahkan tiga hospital di kawasan tersebut, kerana enggan meninggalkan pesakit tanpa penjagaan.

Dr. Hussam Abu Safiya, pengarah Hospital Kamal Adwan, menyatakan bahawa dua pesakit di unit rawatan rapi meninggal dunia akibat kekurangan bekalan perubatan.

"Bekalan darah di hospital telah habis sepenuhnya. Kami kini mengutamakan rawatan kepada pesakit tertentu. Ini adalah realiti yang kami perlu hadapi," katanya dalam satu mesej video.

Tentera Israel masih berada di luar hospital namun tidak memasuki premis tersebut.

Petugas di hospital lain melaporkan tembakan masih kedengaran di sekitar kawasan Hospital Kamal Adwan pada waktu malam.

"Tentera Israel membakar sekolah-sekolah berhampiran dan hospital. Tiada sesiapa boleh keluar atau masuk," kata seorang jururawat di Hospital Indonesia yang enggan dinamakan.

Pegawai kesihatan Palestin menyatakan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh di Jabalia, manakala lapan lagi terbunuh di kawasan lain di Gaza dalam serangan udara Israel.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, mereka telah memusnahkan infrastruktur dan terowong di kawasan Jabalia serta membunuh pejuang yang didakwa sebagai ahli Hamas.

Namun begitu, laporan daripada agensi bantuan PBB menunjukkan penduduk di kawasan utara Gaza tidak dapat melarikan diri dan bantuan kemanusiaan tidak sampai kepada mereka. Sementara itu, Amerika Syarikat telah memberi amaran kepada Israel untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza dalam tempoh sebulan atau berhadapan dengan kemungkinan sekatan bantuan ketenteraan.

Serangan Israel di Gaza yang bermula tahun lalu dan mengakibatkan lebih 42,500 kematian di pihak Palestin. Manakala kira-kira 1.9 juta penduduk kini berada dalam keadaan kebuluran dan kemiskinan yang teruk.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD